Thursday, May 16, 2013

MSN, MOM sambut baik pelantikan Khairy

KUALA LUMPUR - Pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Belia dan Sukan menggantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam disambut baik oleh pemimpin sukan tanah air.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong berkata, pelantikan Khairy memegang portfolio tersebut merupakan keputusan yang tepat memandangkan beliau mempunyai hubungan yang akrab dengan generasi muda.

“Tahniah saya ucapkan. Pemilihan orang muda untuk menerajui Kementerian ini merupakan satu pilihan yang tepat. Beliau merupakan pemimpin yang sering terlibat secara langsung dalam bidang belia dan juga sukan.

“Malah, kedudukan beliau sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menjadikan beliau begitu dekat dengan golongan tersebut.

“Bagi saya ini bukan satu bidang yang baru buatnya. Saya tidak sabar untuk bekerja dengan beliau," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Khairy sebagai Menteri Belia dan Sukan, sementara Timbalannya Datuk M. Saravanan.

Menurut Zolkples, ramai sudah sedia maklum, Khairy juga merupakan individu yang sangat aktif dalam bidang sukan, baik sebagai atlet mahu pun pemimpin.

“Beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan merupakan seorang atlet yang baik dalam bola sepak, futsal serta polo. Beliau juga menubuhkan sebuah kelab bola sepak MyTeam.

“Semua itu sudah cukup membuktikan kemampuannya menerajui kementerian ini," ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, sebagai pemimpin muda, Khairy merupakan calon yang sangat sesuai untuk berkomunikasi dengan generasi tersebut.

“Beliau memiliki pengalaman luas dalam bidang sukan. Pernah memegang jawatan penting dalam FAM, jadi kalau Khairy boleh memahami bola sepak, saya rasa dia juga boleh faham sukan lain," ujarnya.
Kok Chi amat berharap, pendekatan melalui perundingan dapat ditingkatkan lagi oleh kementerian bagi mengatasi sesetengah isu dalam sukan bagi mengelak berlaku salah faham.

UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment