Wednesday, May 29, 2013

MOM pinta kirim buku panduan


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berharap Myanmar selaku tuan rumah Sukan SEA yang dijadual berlangsung Disember ini dapat segera menghantar Buku Panduan Pertandingan bagi membolehkan badan induk itu melakukan persiapan rapi menjelang temasya dwi tahunan itu.
Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi berkata, selagi pihaknya tidak menerima buku panduan itu, segala perancangan akan terganggu.

“Buku panduan itu sebenarnya penting kerana ia mengandungi pelbagai peraturan yang harus diikuti negara bertanding.
“Contohnya, dalam satu acara sukan, tuan rumah boleh menetapkan syarat berapa disiplin sukan boleh disertai sesebuah negara,” katanya.

Ditanya adakah gesaan MOM itu kerana tuan rumah lambat menghantar buku panduan itu daripada tarikh sepatutnya, Kok Chi berkata, seeloknya ia dihantar dengan kadar segera.

“Isunya bukan sudah terlambat kerana masih ada baki kira-kira enam bulan sebelum Sukan Sea bermula.
“Tapi lebih elok kalau mereka menghantarnya lebih cepat sebab kami boleh melakukan perancangan seterusnya.” Kok Chi berkata, selepas menerima buku panduan itu, barulah perbincangan lebih rapi dapat dilakukan bersama Ketua Kontinjen ke Sukan SEA Datuk Amiruddin Embi berhubung perjalanan skuad negara di Myanmar.



Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment