Monday, May 20, 2013

Malaysia tumbang

KIEN Keat (belakang) dan Boon Heong gagal menyumbang mata kemenangan skuad negara selepas tewas kepada beregu Taiwan pada aksi pembukaan peringkat Kumpulan C Kejohanan Badminton Piala Sudirman di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.


APA sudah jadi dengan skuad badminton negara? Taiwan pun tak mampu untuk diatasi pada aksi pembukaan peringkat Kumpulan C Kejohanan Badminton Piala Sudirman di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Pada perlawanan tersebut, skuad negara tewas 2-3 kepada Taiwan, negara yang kurang terkenal dengan sukan badminton.

Untuk memburukkan lagi keadaan, beregu No. 3 dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong gagal menyumbang mata kemenangan selepas tewas kepada lawan mereka, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin 18-21, 18-21.

Kem Malaysia menaruh keyakinan kepada beregu utama negara itu untuk meraih mata keramat itu, tetapi gandingan Koo-Tan tidak mampu mengatasi lawan mereka itu yang turun buat kali pertama mewakili skuad negara mereka pada kejohanan berprestij itu.

Sebelum itu, Malaysia meraih dua mata menerusi kemenangan pemain perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei dan beregu campuran yang digalas Chan Peng Soon- Goh Liu Ying.
Chong Wei tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan lawannya, Yang Chih Hsun 21-8, 21-13 untuk menghadiahkan mata pertama buat skuad negara.

Mata kedua pula diraih menerusi Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan Lu Ching Yao-Lai Chia Wen 25-23, 21-11 dalam tempoh 31 minit.
Kekalahan yang dialami Koo-Tan telah memberi tekanan kepada pemain perseorangan wanita negara, Sonia Cheah Su Ya untuk mencari mata kemenangan dan seperti dijangka, Sonia tewas kepada Tai Tzu Ying dengan keputusan 7-21, 13-21.

Mata kemenangan Taiwan diraih menerusi beregu wanita mereka, Chen Wen Hsing-Hsieh Pei Chen yang menewaskan pasangan negara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei 21-17, 21-19.
Chong Wei selaku kapten skuad negara meminta agar semua pemain tidak cepat mengalah walaupun tewas pada perlawanan pertama peringkat kumpulan.

Ujar Chong Wei, skuad negara harus bangkit pada aksi kedua Kumpulan C menentang Jerman esok bagi memastikan peluang Malaysia untuk melangkah ke peringkat separuh akhir tercapai.

“Saya memang tidak sangka Koo-Tan tewas pada perlawanan hari ini (semalam). Sonia pula mungkin berada dalam keadaan tertekan kerana diturunkan untuk kali pertama pada Piala Sudirman.
“Walaupun tewas, kita tidak boleh menyalahkan pemain, kami harus bersedia untuk menentang Jerman Selasa ini.

“Saya harap kami akan dapat meraih kemenangan ke atas Jerman sambil mengharapkan Taiwan tewas pada perlawanan kedua mereka nanti kepada Jerman.

“Esok (hari ini) tiada perlawanan, jadi kami boleh berehat dan menilai segala kelemahan yang berlaku pada perlawanan pertama hari ini (semalam),” jelas Chong Wei.

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment