Tuesday, May 21, 2013

Malaysia tiada pilihan

SKUAD negara perlu merancang strategi yang lebih mantap jika berhasrat menewaskan Jerman pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan C kejohanan badminton Piala Sudirman 2013 di Stadium Putra, Bukit Jalil hari ini.

Kekalahan mengejut 2-3 kepada Taiwan dalam aksi pembuka tirai kelmarin, ternyata telah meletakkan kedudukan skuad negara dalam keadaan berbahaya dan hari ini mereka tiada pilihan lain kecuali menang ke atas Jerman.

Kemenangan mungkin akan menyelamatkan misi mereka untuk melangkah ke pusingan seterusnya pada kejohanan berpasukan campuran itu.

Mengulas mengenai perlawanan hari ini, ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her mengesahkan, pemilihan yang terbaik harus dilakukan sambil menegaskan bahawa kekalahan kepada Taiwan semalam (kelmarin) harus dijadikan sebagai pengajaran.

“Kalau hendak mendedahkan siapa yang akan beraksi, memang kami tidak boleh mengesahkannya lagi.
“Piala Sudirman merupakan perlawanan strategi dan perancangan yang terbaik adalah memilih siapa yang berada pada prestasi terbaik.

“Senarai nama harus dihantar esok (hari ini) sekitar pukul 1 petang, jadi kami akan pilih pemain yang terbaik berdasarkan kepada sesi latihan,” kata Kim Her semalam.

Pada aksi pertama kelmarin, Malaysia hilang mata berharga apabila beregu harapan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tewas kepada pasangan Taiwan, Lee Sheng Mu- Tsai Chia Hsin 18-21, 18-21.
Beregu lelaki yang menduduki ranking No. 3 dunia itu merupakan harapan untuk meraih satu mata dan kekala- han yang tidak disangka-sangka itu sekali gus menyukar misi skuad negara untuk menempah tempat ke suku akhir.

Kini, Kim Her harus bijak membuat pemilihan sama ada untuk meletakkan beregu kedua negara, Hoon Thien How- Tan Wee Kiong yang berada di ranking ketujuh dunia atau juara Grand Prix Emas Terbuka Malaysia 2013, Lim Khim Wah-Goh V Shem (No. 12 dunia) pada aksi menentang Jerman hari ini.
Bagaimanapun, beliau juga harus berhati-hati untuk membuat pemilihan kerana Jerman dijangka menurunkan beregu ke-16 dunia mereka, Kindervater Ingo-Schoettler Johannes.

Untuk rekod, kali terakhir Khim Wah-V Shem tewas kepada pasangan Eropah itu ialah pada pusingan kedua Terbuka Jerman, Mac lalu.

Begitupun, Thien How-Wee Kiong pula pernah menundukkan Ingo-Johannes dalam pusingan kedua Seluruh England 2013 seminggu selepas kekalahan Khim Wah-V Shem pada Terbuka Jerman.

Mengimbas aksi pertama kelmarin, Malaysia turut kehilangan dua mata apabila perseorangan wanita, Sonia Cheah Su Ya tewas kepada Tai Tzu Ying (7-21, 13-21) dan beregu wanita, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei ditumpaskan Cheng Wen Hsing-Hsieh Pei Chen (17-21, 19-21).

Dua mata kemenangan skuad negara pada perlawanan pertama itu diraih menerusi pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei serta beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Oleh MOHD. IKHSAN
FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment