Tuesday, May 28, 2013

Malaysia Dan Singapura Setuju Batal Perlawanan Persahabatan - Subahan

PETALING JAYA, 27 Mei (Bernama) -- Perlawanan persahabatan 'Causeway Challenge' antara Malaysia dengan Singapura yang dijadual pada 4 dan 7 Jun ini telah dibatalkan atas persetujuan bersama.

Pengurus pasukan Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata keputusan itu dicapai selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola sepak Singapura (FAS) mengadakan perbincangan.

Oleh kerana kesuntukan masa, saya rasa lebih baik jurulatih Datuk K. Rajagobal diberi masa mempersiapkan pasukan sebelum menentang Bahrain pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015, Oktober ini, katanya.

"Saya sendiri menghubungi setiausaha agung FAS dan kita buat satu keputusan bersama membatalkan perlawanan persahabatan ini," katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini Isnin.

Malaysia akan berdepan Bahrain dalam kelayakan Piala Asia 2015 pada 13 Okt depan di negara berkenaan, sebelum perlawanan timbal balik di Kuala Lumpur pada 15 Nov ini.

Skuad Harimau Malaya, kemudian akan turun dalam aksi timbal balik menentang Qatar di sini, pada 19 Nov sebelum bertemu Yemen di negeri tersebut pada 5 Mac, 2014. Sebelum ini skuad Harimau Malaya tumpas 0-2 kepada Qatar dan menang 2-1 ke atas Yemen dalam aksi kumpulan D.

Tindakan Rajagobal untuk menghadapi kelab divisyen dua di Australia - Canberra dan Sydney serta tindakan FAM membatalkan perlawanan persahabatan dengan Singapura mengundang pelbagai hujah.

Keputusan itu juga menimbulkan pelbagai tanda tanya dan beranggapan ia sesuatu yang merugikan kerana perlawanan persahabatan menentang Singapura menawarkan mata ranking untuk diperbaiki Malaysia yang kini berada di tangga ke-161 dunia.

Subahan berkata pendedahan di Australia itu dan beberapa perlawanan persahabatan selepas itu, adalah platform terbaik bagi pemain menerap strategi yang direncanakan jurulatih bagi menghadapi kelayakan Piala Asia.

"Kita sudah kerap mengadakan perlawanan persahabatan dengan Singapura sebelum ini dan pada kali ini, kita bersetuju membawa pemain ke luar negara (selain Singapura) untuk berlatih bersama bagi mendapatkan kembali semangat dan nafas baharu," katanya.

Sementara itu, Rajagobal percaya beberapa perlawanan persahabatan di luar negara dapat memantapkan corak permainan skuad negara dalam mengharungi kempen kelayakan Piala Asia.

"Kalau sekadar latihan (di Australia) sahaja tidak memadai. Jadi kita mahu memanfaatkan peluang yang ada untuk mengadakan perlawanan persahabatan di sana sebelum berdepan Bahrain," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment