Tuesday, May 14, 2013

Magis Misbun hantui BAM

Magis Misbun hantui BAM  
Ramdan rangkul dua gelaran selepas mengungguli saingan Cabaran Antarabangsa Slovenia kelmarin dan Portugal bulan lalu.
 
Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sepatutnya malu dengan bekas jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek apabila berjaya membantu Misbun Ramdan Misbun meraih dua gelaran selepas mengungguli saingan Cabaran Antarabangsa Slovenia kelmarin dan Portugal bulan lalu.

Malah, Ramdan, 23, kini dilihat calon terbaik menggantikan Lee Chong Wei - bertepatan dengan matlamatnya ketika keluar daripada BAM, apatah lagi pemain yang berada di bawah badan induk itu masih belum menunjukkan petanda positif apabila terus bergelut dengan prestasi tidak menentu.
Ironinya, dua kejuaraan itu hadir empat bulan selepas Ramdan meninggalkan BAM dan bernaung di bawah Kelab Badminton Nusa Mahsuri sekali gus membuktikan ada sesuatu yang tidak kena dengan program badan induk itu selepas dia gagal mencetuskan impak sepanjang dua tahun berada di BAM.


Jurulatih pelapis perseorangan negara, Hendrawan yang bertanggungjawab melatih Ramdan sebelum ini bagaimanapun enggan menjadikan perkara itu sebagai isu, sebaliknya menyifatkan kejayaan Ramdan bakal memberi cabaran kepada pemain kendaliannya terutama Goh Soon Huat dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Cetus saingan sihat

“Mungkin program saya dengan Misbun berbeza. Lagipun saya sudah bentuk Ramdan ketika dia bersama dengan saya dan kini dia meneruskannya bersama Misbun. Tidak dinafikan dia seorang pemain yang berbakat dan mampu menjadi pemain bertaraf dunia.

“Apa yang saya nampak kejayaan Ramdan ini akan mewujudkan persaingan yang sihat antara dia, Soon Huat dan Iskandar. Apabila Ramdan berjaya, Soon Huat dan Iskandar pasti mahu melakukan perkara sama, mereka akan bersaing antara satu sama lain bagi meningkatkan prestasi masing-masing.
“Saya akan terus membimbing Iskandar dan Soon Huat untuk mencipta kejayaan dan Misbun juga pasti akan membuat perkara sama terhadap Ramdan, akhirnya kita dapat melahirkan pemain terbaik untuk negara,” katanya.

Ditanya adakah wajar Ramdan dipanggil berada dalam skuad negara bagi menghadapi Piala Thomas tahun depan jika terus cemerlang mengukir kejayaan di pentas antarabangsa, Hendrawan berkata: “Saya tidak pasti polisi BAM macam mana.

“Namun, secara peribadi, jika Ramdan adalah yang terbaik ketika itu, dia perlu dipanggil. Ini kerana, hanya yang terbaik boleh beraksi dalam skuad negara tidak kira dia pemain BAM atau kelab,” katanya.



Helmi Talkah | helmi.talkah@mediaprima.com.my - Berita Harian

No comments:

Post a Comment