Tuesday, May 21, 2013

Lawan Jerman tanpa Koo-Tan?

Tan Boon Heong (depan) dan Koo Kien Keat mungkin tidak akan disenaraikan menentang Jerman pada Piala Sudirman, hari ini. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH 
 
KUALA LUMPUR - Pertemuan dengan Jerman hari ini ibarat 'hidup mati' perjuangan Malaysia dalam saingan badminton Piala Sudirman.
Kita akan berdepan ujian getir itu dengan menggugurkan beregu paling berpengalaman, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Pasangan No. 3 dunia itu bakal menerima hukuman ekoran prestasi buruk ketika tewas 18-21, 18-21 kepada beregu Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin, keputusan yang membawa kepada kekalahan 2-3 Malaysia.

Pengakuan Boon Heong bahawa dia sudah hilang keyakinan berdepan Jerman dan rela digugurkan memudahkan barisan jurulatih membuat keputusan, namun memikirkan kenyataan seperti itu keluar daripada mulut seorang pemain kelas dunia ia memang amat mengecewakan.

Ketua jurulatih beregu kebangsaan, Tan Kim Her seperti diduga enggan mendedahkan barisan pemain yang bakal diturunkan Malaysia hari ini dengan alasan khuatir ia akan dihidu Jerman, namun daripada bayangan yang diberikan, Kien Keat-Boon Heong tiada dalam perancangan.

"Kekalahan Kien Keat dan Boon Heong semalam menjadi punca kekalahan pasukan negara. Kita menyasarkan mata daripada perseorangan lelaki, beregu campuran dan beregu lelaki, tetapi mereka gagal memberikan mata seperti diharap.

"Kita kena turunkan pasukan terbaik bertemu Jerman kerana kita perlu menang jika mahu ke suku akhir. Yang terbaik itu tidak semestinya berdasarkan ranking dan rekod tetapi prestasi semasa.
"Semalam (kelmarin) kita turunkan skuad yang kita rasa terkuat tetapi malangnya pasukan terbaik itu tidak mampu menang, jadi esok (hari ini) pun kita akan turunkan yang terbaik daripada aspek penilaian dan bukan rekod di atas kertas semata-mata," kata Kim Her.

Berdasarkan rekod pertemuan pasangan No. 7 dunia, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong paling layak menggalas cabaran beregu lelaki kerana mereka pernah mengalahkan beregu utama Jerman, Kindervater Ingo-Schoettler Johannes pada All England, Mac lalu.

Goh V Shem-Lim Khim Wah pula kalah kepada gandingan tersebut di Terbuka Jerman, seminggu sebelumnya, tetapi kejayaan menjuarai Grand Prix Emas Terbuka Malaysia awal bulan ini telah meningkatkan keyakinan pasangan muda itu.

"Thien How-Wee Kiong ada pengalaman dan pernah menewaskan beregu Jerman itu pada All England, tetapi V Shem-Khim Wah memiliki prestasi semasa yang baik, jadi kita kena tengok dulu bagaimana tahap keyakinan mereka untuk diturunkan.

"Sepatutnya dalam kejohanan besar seperti ini semua pemain bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa dan tidak timbul rasa tidak yakin tetapi sudah tentu siapa yang lebih meyakinkan akan menggalas cabaran," katanya lagi.

Dalam empat acara lain, mungkin hanya perseorangan wanita bakal menyaksikan rombakan selepas Sonia Cheah mempamerkan aksi 'kaku' ketika tewas mudah kepada pemain Taiwan, Tai Tzu Ying 7-21, 13-21.

Jaguh No. 1 dunia, Lee Chong Wei akan terus mengetuai cabaran perseorangan lelaki bersama beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei.
Malaysia tiada pilihan kecuali mengalahkan Jerman hari ini untuk melayakkan diri ke suku akhir selaku dua pasukan terbaik Kumpulan C. Kita menyasarkan untuk menyamai pencapaian terbaik 2009 iaitu layak ke separuh akhir.

Oleh Norzie Mohd. Khasbi dan Zazali Jamian
sukan@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment