Thursday, May 09, 2013

50 hari menjelang Sukan Malaysia ke-16

KHAMIS, 9 Mei 2013 : Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Seri Zolkples Embong, pagi ini melancarkan laman web rasmi Sukan Malaysia XVI Kuala Lumpur 2013 bersempena detik 50 hari temasya berkenaan, di Lobi Casa 1, MSN Bukit Jalil, di sini.

Laman web yang turut menjadi petunjuk 'countdown' jumlah hari sebelum bermula temasya itu dari 28 Jun hingga 7 Julai depan, menyediakan perkembangan terkini persiapan MSN sebagai penganjur, selain menyediakan ruang untuk kontinjen mendaftarkan nama pegawai dan atlet yang akan mengambil bahagian.

Selain itu, mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan sepanjang temasya itu juga boleh mendaftarkan diri secara online menerusi laman web berkenaan.

Dato’ Seri Zolkples dalam ucapan perasmiannya berkata, setakat ini semua 14 negeri telahpun mengesahkan penyertaan mereka pada temasya berkenaan selepas tarikh tutup pendaftaran kontinjen pada 30 April lalu.

“Saya juga sukacita memaklumkan bahawa kesemua 20 jenis sukan yang dicadangkan sebelum ini, akan dipertandingkan pada Sukan Malaysia Kuala Lumpur kerana melepasi had kelayakan sekurang-kurangnya lima kontinjen negeri mengambil bahagian.

“Ini bermakna sukan wood ball, muay thai dan bola sepak pantai akan dipertandingkan buat pertama kalinya dalam temasya Sukan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, MSN sudahpun melakukan persiapan rapi termasuk telah membuka sekretariat Sukan Malaysia XVI Kuala Lumpur 2013 di Lobi Casa 1 MSN untuk melicinkan segala perjalanan temasya kelak.

"Laman web dan sekretariat ini penting kerana kami menjangkakan lebih 5,000 atlet dan 1,000 pegawai akan terbabit sepanjang 14 hari temasya itu,” katanya.

Beliau berkata, selain sekretariat dan gelanggang beberapa acara sukan tertentu, MSN juga menyediakan Pusat Media Utama yang terletak di Dewan Komanwel MSN Bukit Jalil untuk membantu pihak media menjalankan tugas mereka sebaik mungkin.

Sukan Malaysia XVI Kuala Lumpur 2013 akan bermula dengan sukan sofbol terlebih dahulu pada 25 Jun di Padang Universiti Putra Malaysia, sebelum majlis perasmian diadakan pada 28 Jun manakala majlis penutup pada 7 Julai.


- MSN

No comments:

Post a Comment