Monday, May 20, 2013

Koo membara, Tan berduka


Kuala Lumpur: Koo Kien Keat tetap membara dan bersedia untuk turun beraksi dalam aksi seterusnya namun, Tan Boon Heong mengakui dia kini kurang bersemangat selepas menjadi punca kekalahan 2-3 pasukan negara kepada gandingan Taiwan, dalam perlawanan pertama Kumpulan C Piala Sudirman semalam.

Kekalahan di tangan Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin 18-21, 18-21 pada aksi pertama Malaysia ketika menentang Taiwan menyaksikan negara jajahan China itu memungut mata pertama.

Ketika nada kedua-dua pemain itu tidak lagi seiringan, mungkinkah tiba masanya untuk mereka dipadankan dengan gandingan lain? “Mereka mengawal permainan di depan jaring dan mengawal sepanjang perlawanan, semuanya tidak menjadi buat kami,” kata Kien Keat yang sedia untuk beraksi menentang Jerman, esok namun Boon Heong tidak lagi yakin untuk beraksi.
Kekalahan 18-21, 18-21 kepada Sheng Mu-Chai Hsin itu menyebabkan Sonia Cheah yang dua kali menang ke atas Tai Tzu Ying di Piala Axiata, tidak mampu menanggung tekanan lalu tewas 7-21, 13-21 bagi membolehkan Taiwan mendahului 2-0.

Begitupun kapten pasukan negara, Datuk Lee Chong Wei mahu rakan sepasukannya melupakan apa yang sudah berlaku dan fokus untuk perlawanan seterusnya bagi memastikan Malaysia ke suku akhir.

“Kalah atau menang jangan salahkan diri atau orang lain, ini acara berpasukan. Kita mesti menyokong satu dengan yang lain dan saya harap Kien Keat-Boon Heong mampu bangkit selepas ini. Harap jangan jatuhkan semangat mereka lagi,” kata Chong Wei.
Chong Wei tiada masalah menewaskan Yang Chih Hsun 21-8, 21-13 untuk menjadikan kedudukan 2-1, namun seperti diramal Vivian Hoo-Woon Khe Wei tidak mampu menghadiahkan mata penyamaan untuk menghidupkan peluang kemenangan apabila tunduk kepada Cheng Wen Hsing-Hsieh Pei Chen 17-21, 19-21 sekali gus memahat kekalahan pasukan negara.

Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang turun dengan misi memungut satu lagi mata untuk perkiraan strategi pasukan negara melangkah ke pusingan kedua, turut bergelut ketika berdepan Lu Ching Yao-Lai Chia Wen apabila dipaksa bekerja keras sebelum menang 25-23, 21-11.



Oleh Mohd Hilmie Hussin, Harian Metro

No comments:

Post a Comment