Wednesday, May 08, 2013

Kok Chi sedia pertahan jawatan

"NILAI berdasarkan trek rekod dan pencapaian saya selama 21 tahun di MOM, bukan hanya tahu cari salah saya sahaja."

Demikian tegas Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi kepada individu yang mahu mencabar jawatan yang disandangnya itu pada pemilihan sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) MOM, 22 Jun depan.

Kok Chi berkata, beliau bersedia untuk meneruskan tugas yang disandangnya sejak 1992 itu sekira- nya mendapat pencalonan daripada perwakilan MOM yang masih mempercayai kredibilitinya bagi penggal 2013-15.

Bekas atlet polo air negara berusia 74 tahun itu menegaskan, MOM telah banyak mencapai kemajuan dan kejayaan sepanjang beliau menggalas jawatan tersebut.
Selain itu katanya, beliau turut berjaya mengangkat nama Malaysia dalam penganjuran temasya sukan bertaraf antarabangsa.

"Saya bersedia mempertahankan jawatan saya ini sekiranya mendapat pencalonan," jelas Kok Chi kepada Kosmo! semalam.

"Saya masih sihat, ada pengala- man yang luas dan pengetahuan dalam banyak perkara mengenai pengurusan sukan dalam MOM, jadi saya rasa kalau mereka masih mahukan saya, apa salahnya saya teruskan.

"Cuba lihat di mana MOM berada sekarang? Adakah MOM maju atau tidak maju dari segi kewangan? Cuba lihat di mana bangunan MOM dan bagaimana kejayaan MOM dalam penganjuran temasya sukan yang besar seperti Sukan SEA dan Sukan Komanwel?

"Saya harap mereka yang tidak puas hati, menilai berdasarkan trek rekod saya dan bukan melalui kesalahan atau kelantangan mulut saya sahaja," ujarnya lagi.

Menurut Kok Chi, beliau sendiri tidak tahu punca mengapa sering menjadi mangsa setiap kali pemi- lihan AGM akan berlangsung.

Namun, beliau turut mendedahkan bahawa mengetahui tentang komplot untuk menjatuhkannya yang didalangi oleh barisan kepimpinan baharu MOM yang dilantik penggal lepas.

Ketika ini, antara nama yang bakal mencabar jawatannya itu ialah Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang kini memegang jawa- tan Naib Presiden serta Penolong Setiausaha, T. Kumar.
"Tidak mungkin mereka berdua akan mencabar saya kerana apa yang saya tahu mereka adalah dalam satu pihak yang sama.

"Namun, kalau T. Kumar yang mahu mencabar, saya rasa saya lebih bagus daripada dia. Saya lebih berpengalaman berbanding dia.

"Kalau betul perwakilan MOM tidak lagi mahukan saya dan menggantikan dengan orang lain, saya tidak kisah.

"Tugas Setiausaha Kehormat ini tidak menjanjikan wang ringgit yang banyak, sebaliknya ia adalah tugas yang membebankan," jelasnya lagi.


Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my

1 comment:

  1. Mungkin bukan wang ringgit yg di kejar pencabar mungkin yg di kejar adalah peluang untuk berkhidmat yg telah di bolot kerana gilakan kuasa.

    ReplyDelete