Thursday, May 09, 2013

Kok Chi masih relevan: Jani


Kuala Lumpur: Ketika Datuk Sieh Kok Chi terus mencetuskan tanda tanya sama ada mahu mempertahankan jawatan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atau sebaliknya pada pemilihan Perhimpunan Agung Tahunan MOM 22 Jun depan, beberapa persatuan sukan kebangsaan berpendapat tokoh berusia 74 itu masih relevan untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya itu.

Kok Chi seperti bermain tarik tali apabila pada satu ketika menyatakan hasrat untuk bersara, faktor yang menyebabkan Penolong Setiausaha T Kumar mahu bertanding jawatan itu, namun kelmarin menerusi satu laporan akhbar, beliau dikatakan akan mempertahankan jawatannya sekiranya mendapat pencalonan daripada persatuan sukan.

Bagaimanapun, beberapa persatuan sukan seolah-olah sudah memberi isyarat jelas mahu Kok Chi terus mempertahankan jawatan yang disandang selama 21 tahun itu atas beberapa faktor tertentu.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Tinju Amatur Malaysia Mohamad Jani Ismail secara peribadi menganggap Kok Chi masih belum ada pengganti yang sesuai.

“Sebenarnya jawatan dia itu (Setiausaha Kehormat) cukup penting kerana membabitkan hubungan antarabangsa dengan negara lain di dunia.

“Pengalaman Kok Chi itu cukup berharga. Secara peribadi, saya tidak nampak ada pengganti yang benar-benar sesuai dapat menggantikan tempatnya itu,” katanya.

Bagi Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Zainal Abidin Ahmad pula, sejak mengenali Kok Chi seawal era 1970 an lagi, beliau menganggap Kok Chi seorang yang mampu memikul tugas dengan baik.

“Secara peribadi saya sudah lama kenal dia dan saya rasa selagi dia mampu, tidak salah untuk dia teruskan tugas sedia ada.

“Saya memang tidak mempunyai sebarang masalah dengan dia. Hubungan antara kami berjalan dengan baik dan dia juga banyak membantu persatuan sukan lain,” katanya.



Oleh Saiful Affendy Sapran - Arena - Harian Metro.

No comments:

Post a Comment