Monday, May 20, 2013

KLHC lakar hatrik


Kuala Lumpur: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) muncul juara Piala TNB selepas menewaskan TNB 2-1 semalam sekali gus melakar hatrik memenangi piala berprestij itu buat kali ketiga berturut-turut.
Berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, ia kekalahan ketiga berturut-turut dialami TNB ke atas lawan sama selepas kecundang dua final sebelum ini.

"Satu kemenangan yang amat manis kerana ini kejayaan ketiga berturut-turut kami pada saingan Piala TNB.
"TNB sememangnya memberi saingan cukup sengit tetapi kami berjaya juga mempertahankan kejuaraan ini," kata kapten pasukan Muhd Razie Abd Rahim. Amir Farid Ahmad Fuzi meletakkan TNB di depan seawal minit kelapan menerusi larian solo selepas menerima hantaran cantik dari Muhamad Azammi Adabi.

Tersentak dengan gol awal itu, KLHC menggandakan asakan dan hasilnya mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-20 menerusi Mohd Syamim Mohd Yusof hasil pukulan sudut penalti pertama.

TNB berpeluang untuk kembali di depan empat minit kemudian apabila dihadiahkan pukulan penalti stroke selepas Fareed Ahmed menjatuhkan Faizal Saari dalam kawasan D.
Namun Faizal mensia-siakan peluang itu sekali gus turut melepaskan peluang untuk menjaringkan gol peribadi ke-18 untuknya.

Bersambung babak kedua, KLHC berpeluang berada di depan pada minit ke-45, tetapi mereka mensia-siakan peluang terbaik itu.
Penjaga gol KLHC, Roslan Jamaluddin kemudian bertindak cemerlang menyelamatkan gerakan solo Faizal empat minit selepas itu.

KLHC dihadiahkan pukulan penalti stroke pada minit ke-64 dan pemain kebangsaan Pakistan Muhammad Imran tidak mensia-siakan peluang itu apabila tenang memperdaya penjaga gol TNB S Kumar.


Oleh Saiful Affendy Sapran , Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment