Monday, May 20, 2013

KLHC juara Piala TNB


PARA pemain KLHC meraikan kejayaan mereka selepas muncul juara Piala TNB hasil kemenangan 2-1 ke atas TNB pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.


KELAB Hoki Kuala Lumpur (KLHC) berjaya menjulang trofi ke-13 Liga Hoki Malaysia (MHL) selepas mengalahkan musuh tradisi, Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2-1 pada perlawanan akhir Piala TNB di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Kejayaan tersebut merupakan gelaran berganda ketiga berturut-turut buat skuad kendalian Muhd. Dhaarma Raj Abdullah itu yang turut menjuarai Liga Premier musim ini.

Sebelum ini, mereka memenangi gelaran berganda pada musim 2011 dan 2012, dan ironinya, kedua-dua kejayaan itu dilakar selepas menewaskan pasukan yang sama.

Bagi TNB pula, kekalahan ini sudah pasti amat pahit untuk ditelan selepas mereka sekali lagi dibayangi musuh ketat mereka itu dalam tiga kejuaraan musim ini iaitu dalam Piala Sumbangsih, Liga Premier dan Piala TNB.

Kedua-dua kelab tersebut masing-masing terikat dengan pencapaian 12 kejuaraan sebelum turun beraksi di final malam tadi, namun KLHC kini berjaya mengatasi kehebatan TNB yang lebih banyak mendominasi saingan MHL sejak diperkenalkan pada 1987.

Pada aksi semalam, TNB mendahului seawal minit kelima menerusi jaringan Amir Farid Ahmad Fuzi.
Begitupun KLHC bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Mohd. Syamim Mohd. Yusof pada minit ke- 15 sebelum Muhammad Imran muncul wira pasukannya dengan menjaringkan gol kemenangan menerusi pukulan penalti lima minit sebelum permainan tamat.

Sebagai juara, KLHC membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM70,000 manakala TNB pula meraih RM50,000 selaku naib juara.

Sapura pula memenangi RM40,000 untuk tempat ketiga selepas menewaskan Maybank 2-1 pada aksi penentuan ketiga/keempat kelmarin.

Maybank menerima habuan berjumlah RM30,000.

Saingan Piala Presiden pula, menyaksikan TNB Thunderbolts menerima hadiah wang tunai RM30,000 sebagai juara setelah menumpaskan UiTM 4-2 menerusi penentuan pukulan penalti pada satu lagi final petang semalam.

Selaku naib juara, UiTM membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment