Thursday, May 16, 2013

'Khairy pilihan tepat'

MSN, OCM yakin Menteri Belia dan Sukan ke-17 mampu lonjak industri sukan negara

Kuala Lumpur: Gabungan pengalaman dalam bidang sukan, idea baru yang segar serta sikap terbuka dimiliki Khairy Jamaluddin selaku Menteri Belia dan Sukan yang baru mampu melonjakkan industri sukan negara ke tahap lebih tinggi, khasnya mencanang usaha menggapai impian rakyat memburu pingat emas pertama Sukan Olimpik.

Pandangan itu disuarakan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi yang menganggap seseorang menteri bukan saja terbabit dalam penggubalan dasar tetapi memiliki kelebihan jika aktif dalam sukan dan gerakan belia.
“Orang muda berpengalaman seperti Khairy memang sesuai untuk dunia sukan Malaysia. Beliau adalah Ketua Pemuda BN, cukup berpengalaman dalam aktiviti dan gerakan belia.


“Semua itu membantu melengkapkan pakej sebagai seorang pemimpin. Kami yakin dia membawa sinar lebih cemerlang untuk sukan negara,” katanya ketika diminta mengulas pelantikan Khairy dalam kabinet baru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Kok Chi pula mengharapkan KBS dan MOM mampu menjelmakan gabungan idea lebih mantap dan segar untuk memajukan sukan.

“KBS dan MOM adalah satu pasukan, kita kerja untuk mencapai satu matlamat yang sama iaitu mencipta kejayaan untuk negara. Saya cukup yakin kita mampu meningkatkan pencapaian sukan negara,” katanya.

Khairy pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2007-2010 dan pengerusi Liga Super Malaysia Sdn Bhd (2007) serta mengasaskan penubuhan pasukan bola sepak MyTeam (2006).
Ketua Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) itu juga dilihat mampu dan memiliki kelebihan mendampingi golongan belia kerana cukup berpengalaman mengendalikan pelbagai program orang muda.

Bahkan, beliau juga aktif dalam sukan polo, bola sepak dan futsal sekali gus memberikannya banyak input baru yang segar selaku seorang atlit dan diharap meneruskan kesinambungan kejayaan bekas menteri, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sebelum ini, Ahmad Shabery yang mencipta banyak kejayaan kepada Malaysia termasuk meraih perak dan gangsa di Sukan Olimpik London 2012, muncul juara bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 dan mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2009 dan 2011.



INFO
Menteri Belia dan Sukan


  • Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj (1964-1966)
  • Senu Abdul Rahman (1966-1968)
  • Datuk Hamzah Abu Samah (1969-1973)
  • Datuk Ali Ahmad (1973-1978)
  • Datuk Samad Idris (1978-1980)
  • Datuk Mokhtar Hashim (1980-1983)
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim (1983-1984)
  • Datuk Dr Sulaiman Daud (1984-1986)
  • Datuk Seri Najib Razak (1986-1990)
  • Tan Sri Annuar Musa (1990-1993)
  • Datuk Ghani Othman (1993-1995)
  • Tan Sri Muhyiddin Yassin (1995-1999)
  • Datuk Hishamuddin Tun Hussein (1999-2004)
  • Datuk Seri Azalina Othman Said (2004-2008)
  • Datuk Ismail Sabri Yaakob (2008-2009)
  • Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (2009-2013)


BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment