Thursday, May 16, 2013

Khairy Menteri KBS baharu

“SAYA bertekad mentransformasikan pembangunan serta agenda sukan negara seiring dengan kepesatan pembangunan negara.”

Demikian wawasan Menteri Belia dan Sukan (KBS) yang baharu, Khairy Jamaluddin.
Menurutnya, dia akan menggalas tugas tersebut sebaik mungkin bagi memastikan sukan negara terus menikmati pembangunan serta kejayaan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pelantikan Khairy sebagai Menteri Belia dan Sukan pada majlis pengumuman senarai Kabinet yang baharu.
Jawatan tersebut sebelum ini dipegang Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang berpindah ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Pelantikan ini merupakan satu penghargaan buat seluruh pemuda serta belia di negara ini, dan saya berjanji akan menunaikan tanggungjawab yang diberikan ini sebaik mungkin.

“Saya sangat berterima kasih kepada Datuk Seri Najib atas kepercayaan yang diberikan dan saya menganggap amanah yang diberikan ini adalah mewakili suara seluruh anak muda di negara ini yang sentiasa menyokong kerajaan dalam membangunkan negara.

“Selain itu, ia juga satu amanah sangat besar buat diri saya dalam memastikan pembangunan belia dan sukan di negara ini berterusan serta mampu menggegar arena sukan dunia,” kata Khairy ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kata Khairy lagi, matlamat utamanya sudah semestinya mengharapkan prestasi sukan negara secara keseluruhan akan terus meningkat pada tahun ini dan nasib atlet-atlet negara juga akan menjadi keutamaannya nanti.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan senarai menteri Kabinet baharu yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman, teknokrat dan wakil golongan muda yang diyakini mampu meneruskan agenda transformasi nasional.

Dalam pada itu, Datuk M. Saravanan pula dilantik sebagai Timbalan Menteri.
Untuk rekod, Khairy merupakan pencetus idea serta ‘orang kuat’ sehingga tertubuhnya pasukan kelab bola sepak UPB-MyTeam FC pada tahun 2006.

MyTeam ditubuhkan bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat terpendam dalam sukan bola sepak di seluruh negara, dan hasil jelajah ke 13 buah negeri itu mereka berjaya mengumpulkan 22 pemain berbakat untuk diserap dalam skuad MyTeam.

KOSMO

No comments:

Post a Comment