Wednesday, May 22, 2013

'Jangan bermain api'


TENGKU ABDULLAH (tengah) menyempurnakan majlis pelancaran kad debit visa Bank Islam 'Team Harimau' di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi amaran kepada pemain-pemain Liga Malaysia (Liga M) supaya tidak terjebak dengan gejala mengatur perlawanan.

Tengku Abdullah menegaskan, sekiranya pemain terlibat dengan rasuah dan melakukan perbuatan tidak bermoral itu, ia mengundang banyak perkara yang tidak diingini.
Baginda bertitah, barisan pemain Liga M perlu berfikir lebih jauh dan menganggap perbuatan itu mampu 'membunuh' industri bola sepak negara.

FAM akan menjalin kerjasama dan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memerangi sindiket mengatur perlawanan yang dilabel bookie, Khamis ini.
"Saya pun baru dapat maklum dan baca dalam akhbar tetapi saya berharap kes ini diambil perhatian oleh pihak berkuasa khususnya pihak polis.

"Saya juga hendak mengingatkan dan menasihati pemain-pemain supaya jangan sesekali mendekati pihak-pihak bookie ini.
"Sekali anda terlibat, kamu akan merasai kesannya. Saya sudah nasihat dari dulu (dan) apabila kita melayan mereka (bookie), inilah akibatnya.

"Ugutan, cubaan membunuh dan menakutkan keluarga.
"Inilah akibatnya dan tolong jangan 'hiburkan' orang-orang seperti ini.
"Kami (FAM) kena berkerjasama dengan pihak berkuasa. Mungkin kami akan dapatkan (khidmat) nasihat daripada mereka dalam hal ini.

"Saya dimaklumkan, pihak KBS juga akan mengadakan satu perjumpaan dengan SPRM dan polis dalam hal ini di Majlis Sukan Negara (MSN)," titah baginda kepada pemberita selepas pelancaran kad debit visa Bank Islam 'Team Harimau' di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, terdapat laporan beberapa pemain Liga M telah membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh daripada sindiket perjudian bola sepak.

Tindakan itu terpaksa diambil selepas sumber dalaman pasukan yang enggan mendedahkan identitinya memberitahu, keselamatan para pemain tersebut termasuk ahli keluarga mereka mula diancam apabila gagal memenuhi tuntutan atau arahan sindiket perjudian itu dalam satu perlawanan baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah turut memberikan respons kepada pengkritik-pengkritik yang dilihat 'memperlekehkan' hasrat FAM untuk membida pusingan akhir Piala Dunia 2034.
Titah baginda, FAM akan berusaha untuk merealiasasikan hasrat itu.

Tambah Tengku Abdullah, baginda percaya banyak negara pasti berminat untuk menjadi tuan rumah bersama selepas Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) menyokong idea tersebut.
"Tidak mengapalah, itu hak dia (pengkritik) untuk berkata apa-apa sekalipun.

"Masa masih panjang. Kami sedang buat kajian dan teliti secara terperinci supaya membuat rumusan adakah perlu kami pergi untuk membida (Piala Dunia 2034) atau tidak?
"Apa yang dia nak katakan kemudian, terpulang kepada sesiapa sahaja.

"Yang penting adalah fikir positif. Kita harus memikirkan tentang positif dan ini bukan soal Malaysia sahaja tetapi soal agenda ASEAN.

"Kita hendak menaikkan dan meningkatkan mutu bola sepak di rantau ini. Kita mesti mempunyai satu usaha (dan) satu matlamat. Seluruh negara di rantau ini dapat meningkatkan cara mereka sendiri.
"Saya ingat bukan Thailand (FAT) sahaja tetapi banyak lagi (negara) yang akan masuk. Percayalah, biar saya adakan mesyuarat dahulu dan saya akan maklum kemudian," titah baginda.

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment