Wednesday, May 22, 2013

Impian Malaysia musnah

CHONG WEI memberikan mata pertama Malaysia selepas menewaskan perseorangan Jerman, Dieter Domke 21-18, 21-18 di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.


MALAYSIA gagal melangkah ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Piala Sudirman 2013 selepas tewas 2-3 kepada Jerman pada aksi akhir Kumpulan C di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.
Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut skuad negara selepas tewas kepada Taiwan 2-3 pada hari pertama kejohanan berpasukan campuran itu.

Selaku pilihan ketiga kejohanan, Malaysia bukan sahaja gagal mencapai sasaran ke separuh akhir tetapi turut membuktikan bahawa skuad negara tidak memiliki pemain yang seimbang dalam semua acara yang dipertandingkan.

Skuad negara meraih mata menerusi pemain perseorangan, Datuk Lee Chong Wei dan beregu lelaki, Lim Khim Wah-Goh V Shem yang menewaskan pencabar masing-masing.
Chong Wei menewaskan perseorangan Jerman, Dieter Domke 21-18, 21-18 pada aksi kedua manakala Khim Wah-V Shem menumbangkan Ingo Kindervater-Johannes Schoettler 21-16, 23-21.

Jerman pula meraih tiga mata menerusi, beregu campuran, Michael Fuchs-Birgit Michels, perseorangan wanita, Olga Konon dan beregu perempuan, Michels-Johanna Golsizewski.
Fuchs-Michels menewaskan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying 21-17, 18-21, 17-21 pada aksi pertama perlawanan.

Bagaimanapun, Tee Jing Yi ditumpaskan Konon (12-21, 14-21) diikuti kekalahan beregu wanita, Woon Khe Wei-Vivian Hoo Kah Mun kepada Michels-Johanna Golsizewski 16-21, 21-16, 18-21.
Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek berkata, kekalahan tersebut seharusnya menjadi pengajaran yang paling berguna untuk skuad negara.

"Memang kami mengharapkan kemenangan dalam acara perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran dan kalau salah satu daripada mereka tewas maka sukar bagi skuad negara untuk meraih mata.

"Hari ini, beregu campuran pula tewas tetapi ia sudah berlaku. Bagaimanapun, kekalahan ini akan pengajaran supaya selepas ini pembangunan badminton harus lebih seimbang lagi," kata Rashid.

Untuk rekod, skuad negara tewas kepada Korea Selatan 2-3 pada aksi suku akhir pada edisi terakhir Piala Sudirman 2011 di Qingdao, China dan pencapaian terbaik adalah pada 2009 di Guangzhou.
Kekalahan itu turut menyaksikan Malaysia sebagai pasukan tercorot Kumpulan C, manakala Taiwan sebagai juara kumpulan dan Jerman di tangga kedua.

KOSMO

No comments:

Post a Comment