Tuesday, May 28, 2013

Hafizh Cipta Sejarah Naik Podium Moto2 Di Aragon

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Penunggang Petronas Raceline Malaysia's Hafizh Syahrin Abdullah mencipta sejarah Ahad sebagai rakyat Malaysia pertama menaiki podium perlumbaan Moto2 pada pusingan kedua 'Campeonato de Espana de Velocidad' di Motorland Aragon, Sepanyol.

Permulaan yang lancar dengan jentera pada tahap terbaik, juara Cub Prix 2010 itu mengetepikan 35 pesaing pada Perlumbaan 1 untuk mencipta kemenangan sulung di tempat kedua dengan catatan masa 29 minit 27.524 saat, hanya 0.075 saat di hadapan pelumba Amerika Syarikat, Kenny Noyes di tempat ketiga (29'27.599s).

Tempat pertama dimenangi pelumba Sepanyol, Roman Ramos bagi perlumbaan sebanyak 15 pusingan itu dengan catatan 29'11.275s.

"Sukar untuk percaya saya akhirnya menaiki podium selepas melalui masa sukar ketika ujian masa tidak rasmi pada Jumaat dan pusingan kelayakan pada Sabtu kerana keadaan cuaca yang melampau.

"Saya berasa sangat gembira dan mengucapkan terima kasih kepada pasukan dan penaja yang memungkinkan semua ini berlaku," kata Hafizh Syahrin dalam kenyataan, di Kuala Lumpur.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment