Friday, May 10, 2013

Guna polis di temasya Sukan SEA

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) tidak menolak kemungkinan akan menggunakan bantuan anggota polis bagi menjamin keselamatan kontinjen negara pada temasya Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong berkata, meskipun perkara itu masih belum diputuskan, MSN memandang berat mengenai isu itu dan akan mendapatkan nasihat serta pandangan daripada pihak Wisma Putra terlebih dulu.

Myanmar ketika ini sedang berdepan krisis pergolakan perkauman membabitkan etnik Islam Rohingya serta penganut Buddha yang mencetuskan situasi tegang serta pertumpahan darah.
“Buat masa ini kita belum putuskan sebab kita pun tidak tahu siapakah yang akan dilantik sebagai CDM (Chef de Mission) ke Sukan SEA.

“Tapi kita memang akan sentiasa pantau dan seperti yang saya sebutkan tadi, kita akan dapatkan nasihat Wisma Putra,” katanya.

Jelas Zolkples, penggunaan anggota keselamatan bagi menjaga keselamatan atlet serta pegawai negara bukanlah sesuatu yang baru kerana ia pernah diterapkan pada temasya Sukan Komanwel di New Delhi, India, tiga tahun lalu.

FotoZOLKPLES (dua dari kiri) merasmikan laman web dan detik 50 hari SUKMA Kuala Lumpur ke-16 disaksikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Datuk Ab Jalil Abdullah (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Khas Teknikal Datuk Low Beng Choo.
“Kalau ia menjadi keperluan, kita akan laksanakan. Apa yang penting keselamatan kontinjen kita,” katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran laman web dan detik 50 hari Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16, semalam.

Sementara itu, berhubung masalah pertindihan atlet yang nama mereka didaftarkan oleh beberapa negeri pada temasya sukan itu, Zolkples berkata, pihaknya akan cuba mengatasi masalah itu dengan sebaik-baiknya.

“Jaminan untuk mengelakkan daripada berlaku pertindihan memang sukar kerana kita tidak pasti satu-satu atlet itu didaftarkan di bawah negeri mana dan sebagainya.

“Bila sudah didaftarkan baru kita tahu. Tapi setakat ini kebanyakan kes sebelum ini kita selesaikan dengan cara baik,” katanya.

SUKMA ke-16 akan berlangsung dari 28 Jun sehingga 7 Julai yang menyaksikan pembabitan hampir 5,000 pegawai serta atlet.



Oleh Saiful Affendy Sapran ARENA - HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment