Tuesday, May 28, 2013

Cari pendedahan bermanfaat: Zolkples


Kota Bharu: “Jika mahu beri pendedahan sekalipun, biarlah betul-betul memberi manfaat,” kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Malaysia Datuk Seri Zolkples Embong.
Beliau diminta memberi reaksi berhubung persediaan pasukan bola sepak kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal yang ingin memperkukuhkan pasukan bagi melayakkan diri ke Piala Asia 2015 dan mengadakan perlawanan persahabatan menentang tiga kelab di Australia bulan depan.

Bagaimanapun persediaan itu menjadi tumpuan banyak pihak malah ada yang menyifatkannya sebagai satu pembaziran dan sekadar rombongan melancong.
Zolkples berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak sepatutnya mengeluarkan perbelanjaan besar untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab luar negara yang hanya dibarisi pemain remaja.

“Kita perlu terima hakikat ranking pasukan bola sepak negara kita di tahap rendah namun pendedahan diberikan biarlah memberi manfaat untuk jangka masa panjang.

“Jika pergi tanpa manfaat ia satu pembaziran. Pada pendapat saya, banyak lagi kelab yang tahapnya lebih tinggi di Australia yang kita boleh atur perlawanan persahabatan,” katanya pada sidang media selepas meninjau Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan bawah 16 dan 12 tahun di Majlis Sukan Negeri (MSN) di Telipot, semalam.
Skuad Harimau Malaya sepatutnya berdepan juara Piala AFF 2012, Singapura pada 4 dan 7 Jun ini namun terpaksa dibatalkan.


Oleh Mohd Nor Asri Yaacob , Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment