Friday, May 17, 2013

BWF Sekali Lagi Uji Teknologi 'Extra-eye' Pada Piala Sudirman

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Perekutuan Badminton Dunia (BWF) telah memilih Piala Sudirman di sini Ahad ini untuk melakukan ujian lanjutan mengenai cadangan penggunaan sistem kamera bagi mengkaji semula keputusan penjaga garisan.

Teknologi penggunaan kamera dikenali 'Extra Eye' di sekeliling gelanggang, sama seperti sistem 'Hawk-Eye' dalam sukan tenis, telah diuji pada siri super Terbuka Malaysia, Januari lepas.

Setiausaha Agung BWF Thomas Lund memberitahu sidang media di sini Khamis bahawa teknologi tersebut yang membenarkan pemain mencabar keputusan pengadil apabila perlu, masih dalam ujian untuk memastikan keberkesanannya.

Beliau berkata pada kejohanan Piala Sudirman nanti, kamera akan diletakkan pada tepi separuh gelanggang dan tidak seperti di sekeliling gelanggang semasa Terbuka Malaysia.

Lund menjelaskan keputusan muktamad penggunaan teknologi itu akan dibuat menjelang akhir tahun ini.

Piala Sudirman selama seminggu itu akan diadakan di Stadium Putra di Bukit Jalil di sini bermula Ahad ini.

Lund percaya pemain akan menyokong penggunaan teknologi baharu tersebut berikutan hasil ujian awal yang memberangsangkan.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment