Tuesday, May 21, 2013

Bookie ' Main Darah'



Kuala Lumpur: Gejala mengatur perlawanan dalam liga bolasepak tempatan tampak semakin meruncing apabila beberapa pemain pasukan Liga Malaysia (Liga-M) didakwa menerima ancaman bunuh jika tidak mengikut arahan sindiket perjudian itu.
Menurut sumber dalaman pasukan itu, ada pemain kini hidup dalam ketakutan kerana ancaman sindiket dan mahu membuat laporan polis.

“Mereka menerima ancaman bunuh itu kerana tidak mahu mengikut arahan sindiket. Namun mereka teragak-agak nak membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana bimbangkan keselamatan diri dan keluarga,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Senario yang didedahkan itu menceritakan betapa parahnya kegiatan bookie yang menjadikan Liga-M sebagai pusat mengaut keuntungan dengan menjadikan pemain sebagai mangsa.

Bagaimanapun masalah itu tidak akan berakhir selagi tiada pihak berani tampil memberikan maklumat kepada pihak berkuasa.

Pengerusi Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Aseh Che Mat yang dimaklumkan mengenai perkara itu berkata, sesuatu lebih serius perlu dilakukan demi keselamatan pemain dan sukan bolasepak tanah air.
“Jika ada pemain Liga Malaysia menerima ugutan bunuh, laporkan segera kepada pihak berkuasa. Ini perkara serius. Jika benar dakwaan itu, saya gesa pemain terbabit buat laporan polis.

“Perbuatan tidak bermoral mengatur perlawanan ini sememangnya menjadi musuh nombor satu sukan negara,” katanya.
Beliau yang mempengerusikan Jawatankuasa FAM bagi menangani gejala mengatur perlawanan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis menegaskan akan menyiasat perkara itu dengan lebih terperinci.

“Kita akan siasat perkara ini dengan lebih mendalam sebelum keselamatan mereka diancam lebih teruk.” Ini bukan dakwaan pertama membabitkan ancaman bookie apabila seorang pemain sebuah pasukan Liga-M diugut supaya tidak beraksi dalam satu perlawanan awal tahun ini.

Jika dakwaan itu berlaku, ia pastinya menceritakan betapa gejala mengatur perlawanan sentiasa menghimpit liga tempatan sejak skandal rasuah terbesar pada 1994.

Sejarah hitam yang sukar dilupakan itu menyaksikan 126 pemain dan jurulatih dipanggil membantu siasatan hingga mengakibatkan 58 daripada pemain dikenakan hukuman pergantungan satu sehingga empat tahun oleh FAM.

Selain itu, 21 pemain dan jurulatih diberhentikan dan beberapa pemain digantung seumur hidup dan dibuang daerah selain tidak dibenarkan menyertai kejuaraan di bawah pengelolaan FAM.

‘Wabak’ itu tidak berhenti di situ apabila seramai 11 pemain Piala Presiden Negeri Sembilan digantung antara setahun dan lima tahun manakala bekas jurulatih Yusarman Yusof digantung seumur hidup pertengahan tahun lalu.



Oleh Aziman Rosdi, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment