Tuesday, April 23, 2013

Zolkples naik angin

MAJLIS Sukan negara (MSN) pening.Selepas menerima berita pemain No.1 dunia, Datuk Nicol David enggan menyertai Kejohanan Skuasy Asia di Pakistan, terbaharu, jurulatih skuasy negara, Peter Genever pula membuat keputusan tidak akan menyertai skuad negara ke kejohanan tersebut.

Untuk menambahkan lagi kekecewaan MSN, keputusan tersebut tidak dimaklumkan kepada mereka.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong naik angin apabila dia tidak mengetahui keputusan yang diambil oleh jurulatih dari England itu.

“Saya tidak tahu dia (Genever) tidak akan menyertai skuad negara ke kejohanan tersebut. Seharusnya kami dimaklumkan terlebih dulu.

“Saya akan mendapatkan penjelasan daripada Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM) mengenai hal ini,” ujar Zolkples ketika dihubungi Kosmo! semalam.

“Kita tahu Nicol tidak ke sana (Pakistan) kerana isu keselamatan, tetapi tidak menjangka pula jurulatih mereka turut mengambil keputusan yang sama,” tambah Zolkples.

Genever mula berkhidmat dengan skuad negara sejak Januari 2012.

Untuk rekod, jurulatih berusia 29 tahun itu pernah membimbing bekas pemain No. 1 negara, Mohd. Azlan Iskandar selama lima tahun di London.

Bukan itu sahaja, Genever turut membimbing Mohd. Nafiizwan Adnan secara persendirian sehingga pemain itu berjaya memperbaiki kedudukan untuk berada di ranking ke-36 dunia pada ketika itu.
Genever yang membuat keputusan itu kelmarin menyatakan, dia tidak mahu menyertai kejohanan di Pakistan itu yang berlangsung pada 1 hingga 4 Mei nanti atas alasan keselamatan selain tidak mahu menjadi tumpuan di Pakistan memandangkan dia seorang berketurunan Caucasian yang sememangnya dibenci oleh masyarakat Pakistan.

Biarpun sebelum ini membuat keputusan mahu mengiringi skuad negara, Genever akhirnya menarik diri selepas dipujuk oleh ahli exco SRAM untuk tidak menyertainya.

Bagaimanapun, alasan Genever itu menimbulkan tanda tanya kerana pegawai Institut Sukan Negara (ISN), Ronald Fauvel yang juga berketurunan Caucasian turut menyertai rombongan skuad negara ke Islamabad.

Malah gempa bumi dengan 7.8 skala Ritcher yang melanda Iran baru-baru ini, yang meragut lebih 30 nyawa di sempadan Pakistan, turut dijadikan alasan oleh Genever untuk tidak ‘menemani’ skuad negara ke kejohanan tersebut.

Pada aksi tersebut, bintang skuasy negara, Low Wee Wern akan beraksi selaku pemain pilihan pertama manakala Delia Arnold dan Zulhijjah Azan akan melengkapkan saingan pemain dalam kategori wanita.
“Saya akan teruskan saingan walaupun sedar ancaman yang ada. Untuk itu, saya akan lebih berhati-hati. Memang agak risau, tetapi jurulatih (Aaron Soyaz) ada mengiringi kami di Islamabad. Saya percaya dia tidak akan membiarkan perkara buruk berlaku pada atletnya,” ujar Wee Wern.

Dalam aksi lelaki, Mohd. Nafiizwan akan tetap terbang ke Islamabad untuk mempertahankan gelaran juara bersama juara empat kali, Ong Beng Hee dan Muhammad Asyraf Azan.


No comments:

Post a Comment