Thursday, April 25, 2013

Saya tak mahu komen: Raja



Kelana Jaya: “Saya tak mahu komen.” Itu reaksi jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal yang mengelak daripada ditemuramah pihak media sejurus mendapati dirinya tidak bersalah atas kesalahan mengkritik dasar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.
Sejurus selesai perbicaraan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang berlangsung hampir empat jam semalam, Rajagobal yang tampil membuat pembelaan terus bergegas masuk ke biliknya di Wisma FAM tanpa sebarang kenyataan.

Pengendali skuad Harimau Malaya itu pastinya menarik nafas lega dengan keputusan diumum Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abd Razak apabila beliau terlepas daripada dakwaan di bawah Perkara Kod Tatatertib 4.5.8.
Ini kes pertama tertuduh terlepas daripada hukuman Jawatankuasa Tatatertib selepas kes sebelum ini menyaksikan beberapa individu seperti bekas jurulatih kebangsaan B Sathianathan, Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa, Presiden Bola Sepak Negeri Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim digantung enam bulan hingga dua tahun lebih apabila kes dibuka.

“Tiada kes terhadap Rajagobal sebab kita puas hati dengan pembelaannya. Kita juga memperhalusi pita rakaman (kenyataan Rajagobal pada sidang media) serta laporan akhbar. Beliau menafikan ada membuat kenyataan sedemikian,” kata Taufek semalam.

Keputusan itu membolehkan Rajagobal terlepas daripada penggantungan hingga enam bulan dan boleh meneruskan kontrak dengan FAM sebagai jurulatih kebangsaan hingga hujung tahun ini.
Rajagobal diheret menghadap Jawatankuasa Tatatertib selepas beliau didakwa membuat kenyataan mengkritik dasar FAM mengenai penggunaan pemain import dalam Liga Malaysia yang menyebabkan negara ketandusan penyerang semulajadi.

Kenyataan itu dibuat pada sidang media selepas beliau menyaksikan anak buahnya tumpas 1-4 di tangan Arab Saudi pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam 17 Mac lalu.
“Jika bersalah, beliau boleh dihukum di bawah kesalahan 18.3 tapi kenyataan beliau langsung tidak menyentuh dasar pemain import,” jelas Taufek.

Sementara itu, Jawatankuasa Tatatertib juga menjatuhkan hukuman ke atas dua pemain Selangor Mohd Afiq Azmi dan Abdul Shukor Jusoh di atas insiden pergaduhan yang berlaku pada perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Angkatan Tentera Malaysia 25 Januari lalu.

Afiq digantung dua perlawanan dan denda RM1,000 atas kesalahan bertindak ganas manakala Shukor pula digantung dua perlawanan dan denda RM2,000 kerana ingkar arahan pengadil.

“Apabila melihat semula insiden perlawanan itu, Shukor didapati bersalah kerana ingkar arahan pengadil apabila mengambil masa 1 minit 35 saat untuk meninggalkan padang selepas menerima kad merah.”


Arena - HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment