Monday, April 22, 2013

‘Saya kini ada musuh dalaman’


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih negara John Beasley bertekad untuk memastikan matlamatnya mengangkat martabat sukan berbasikal negara ke tahap lebih tinggi mampu tercapai namun sudah ada tanda-tanda “musuh dalam selimut”.

Menurut pengendali berpengalaman dari Australia itu barisan atlet kendaliannya di Australia kini giat menjalani latihan dengan tidak pernah mempertikaikan komitmen mereka yang sentiasa bermotivasi tinggi untuk menjadi atlet yang lebih baik namun terdapat masalah berhubung atlet yang berpangkalan di Malaysia membabitkan aspek terbabit sekali gus mencetuskan perbezaan di kalangan atlet elit yang sudah berada di tahap dunia.

“Saya percaya semua ini adalah kerana ketiadaan atau kekurangan perlumbaan di Malaysia. Ini menjadi kebimbangan utama kepada saya sejak sekian lama. Saya sudah mengetengahkan isu ini kepada pihak persekutuan dalam beberapa perbincangan namun tiada perkembangan yang positif.
“Saya sudah mula mendapat musuh dalam persekutuan di mana ia adalah sesuatu yang sangat memalukan kerana saya cuba membantu sukan berbasikal Malaysia melangkah ke peringkat lebih tinggi,” kata jurulatih yang mula mengendalikan skuad negara pada 2006 itu.

Walau bagaimanapun menurut Beasley, situasi terbabit tidak akan membuatkan beliau berundur selepas menjadi ketua jurulatih berbasikal Malaysia.

“Saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk memastikan program melangkah ke peringkat seterusnya dan saya akan berusaha sebaik mungkin sehingga saya berjaya atau mereka menjadikan kedudukan saya tidak diperlukan lagi,” katanya.

FotoBEASLY (kanan) berkata sesuatu kepada Azizulhasni.
Kehadiran Beasley sebelum ini berjaya mencetuskan fenomena dalam sukan berbasikal negara apabila berjaya melahirkan jaguh berbasikal Mohd Azizulhasni Awang yang mencapai kejayaan di beberapa kejohanan utama dunia di samping Josiah Ng, Mohd Rizal Tisin dan Mohd Edrus Yunos selain Fatehah Mustapa.

Ketika ini Beasley mengendali lima atlet elit negara di Melbourne diketuai Azizulhasni, Josiah, Fatehah, Edrus dan Amir Mustafa Rusli yang turut berkayuh untuk pasukan Drapac di negara terbabit selain beberapa tambahan atlet muda negara dalam masa terdekat.

Selepas kegagalan mencapai emas di Olimpik London tahun lalu, Beasley terus menjadi sandaran untuk membawa atlet berbasikal negara untuk sekali lagi merealisasikan misi terbabit di Olimpik Rio pada 2016.



Oleh Azlan Muhammad Zain, ARENA - HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment