Thursday, April 25, 2013

Rajagobal Didapati Tidak Bersalah Langgar Artikel 88 FAM

PETALING JAYA, 24 April (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal didapati tidak bersalah oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas tuduhan melanggar Artikel 88 Statut FAM.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufik Abdul Razak berkata tidak wujud kes ke atas Rajagobal selepas meneliti rakaman video yang diserahkan oleh jurulatih berusia 56 tahun itu.

Oleh itu, katanya, jawatankuasa berkenaan memutuskan untuk tidak mengenakan hukuman atas kesalahan mengeluarkan kenyataan mengkritik dasar badan induk itu seperti termaktub dalam Artikel 88 FAM.

"Kita mendapati tidak wujud kes ke atas beliau (Rajagobal) selepas membuat pengakuan bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian (mempersoalkan polisi FAM) sebagaimana yang dilaporkan oleh beberapa akhbar sebelum ini.

"Mungkin akhbar itu tersilap memberikan tafsiran mengenai kenyataan beliau sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang berlangsung hampir tiga jam di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, Rabu.

Taufik bagaimanapun berkata jawatankuasa berkenaan mengingatkan Rajagobal supaya berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan media bagi mengelakkan perkara yang sama daripada berulang semula pada masa akan datang.

"Berdasarkan peraturan FIFA, mana-mana jurulatih dibenarkan memberi kenyataan media selepas sesebuah perlawanan tetapi dalam kes Rajagobal, kita mempersoalkan kenyataan beliau sama ada bersifat permusuhan kepada FAM ataupun tidak... itu sahaja," katanya.

Rajagobal sebelum ini dilaporkan berkata kekalahan 1-4 skuad Harimau Malaya di tangan Arab Saudi pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, 17 Mac lepas disebabkan kekurangan sifat-sifat penyerang semula jadi dalam pasukan kendaliannya.

Beliau dikatakan turut mengaitkan kekalahan skuad bimbingannya itu dengan lambakan pemain import dalam kancah saingan Liga Malaysia musim ini.

Dalam perkembangan lain, dua pemain Selangor, Mohd Afiq Azmi dan Abdul Shukur Jusoh masing-masing digantung dua perlawanan selepas mengaku bersalah dalam insiden pergaduhan antara pasukan berkenaan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, 25 Jan lepas.

"Kita turut mengenakan denda sejumlah RM1,000 kepada Mohd Afiq manakala Abdul Shukur didenda sejumlah RM2,000 kerana mengingkari arahan pengadil dalam perlawanan berkenaan.

"Kedua-dua pemain itu dikenakan hukuman tersebut selepas mereka mengaku bersalah dan ia akan berkuatkuasa hari ini...mereka juga tidak dibenarkan membuat rayuan terhadap hukuman yang dikenakan," katanya.

Dalam insiden itu, Mohd Afiq dikatakan melakukan provokasi melampau terhadap pemain ATM di bangku simpanan sehingga menimbulkan kekecohan antara kedua-dua pihak manakala Abdul Shukur pula mengingkari arahan pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaacob supaya keluar padang selepas dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain lawan.

Perlawanan itu dimenangi Selangor dengan keputusan 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi 120 minit termasuk 30 minit masa tambahan.

Terdahulu, pada 21 Mac lepas, Jawatankuasa Tatatertib menggantung empat pemain ATM antara dua hingga empat perlawanan selain mengenakan denda antara RM1,000 dan RM1,500 setiap seorang susulan pembabitan mereka dalam insiden pergaduhan berkenaan.

Empat pemain berkenaan iaitu penjaga gol, G Jeevananthan, pemain tengah, Mohd Shukor Adan dan dua penyerang iaitu R Surendran dan Mohd Fitri Omar.

Kapten pasukan ATM, Hairuddin Omar pula diberi amaran keras oleh jawatankuasa itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment