Tuesday, April 23, 2013

Naim jamin selesai masalah

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memandang serius rungutan ketua jurulatih negara John Beasley dan akan bersemuka dengannya bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad berkata, jurulatih dari Australia itu mungkin mempunyai masalah dengan individu tertentu namun yakin masalah itu mampu diselesaikan dengan segera.

“Kami di PKBM sebenarnya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Beasley. Mungkin beliau mempunyai masalah dengan individu yang bekerja dengan PKBM dan bukan membabitkan kami yang sentiasa memberi sokongan terhadap perancangannya,” katanya.

Arena Metro kelmarin melaporkan pengendali yang sudah bersama skuad negara sejak 2006 itu melahirkan rasa kurang senang apabila mendedahkan ada musuh dalam PKBM yang cuba menjejaskan perancangannya.

“Saya sudah mula ada musuh dalam persekutuan dan ini sangat memalukan kerana saya cuba membantu sukan berbasikal Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” kata Beasley.

Sementara itu, Naim enggan mendedahkan lebih lanjut individu terbabit namun menjelaskan ia mungkin salah faham dalam pemilihan atlet negara ke Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di India, baru-baru ini.
“Malah kami kini dalam pelaksanaan mengenai segala program yang diingini beliau (Beasley) seperti perlumbaan hujung minggu yang lebih kerap dan sebagainya. Kami memerlukan masa kerana ia membabitkan banyak pihak lain selain peruntukan kewangan yang diperlukan namun semuanya berada pada landasan yang tepat,” katanya.

Bagi menghuraikan kekusutan terbabit Naim sudah merancang satu pertemuan dan perbincangan esok bersama Beasley yang turut dihadiri beberapa exco PKBM dan jurulatih.
“Kami akan membincangkan satu atau dua rungutan Beasley selain membincangkan agenda lain seperti perancangan menghadapi Sukan SEA, Disember ini.”



Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment