Monday, April 22, 2013

Nadzmi kekal Presiden BAC

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh (gambar) kekal sebagai Presiden Konfederasi Badminton Asia (BAC) selepas usul yang dikemukakan Persekutuan Badminton Syria (SBF) untuk membatalkan keputusan pelantikannya ditolak ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu di Taiwan semalam.

Terdahulu, SBF mengemukakan usul agar segala keputusan yang dibuat ketika Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Bangkok, Thailand 17 Mac lalu dibatalkan termasuk pelantikan Nadzmi sebagai presiden dan undi tidak percaya ke atas bekas penyandang jawatan itu, Katsuto Momii.
Menurut sumber, majoriti ahli gabungan badan induk itu tidak bersetuju dengan usul SBF kerana keputusan yang dibuat ketika EGM tidak boleh dibincangkan dalam AGM.


Malah, usul kedua yang dikemukakan SBF agar Setiausaha Agung BAC, Surasak Songvarakulpan dilucutkan jawatan berkuat kuasa serta merta turut ditolak.

Usul KBF diterima

Keputusan untuk memecat setiausaha agung tidak boleh dilakukan dalam AGM. Sebaliknya, ia perlu dibuat menerusi EGM dengan menjalankan undi tidak percaya seperti mana yang dilakukan terhadap bekas presiden (Momii), kata sumber berkenaan.

Bagaimanapun, usul yang dikemukakan Persekutuan Badminton Kazakhstan (KBF) meminta BAC meminda perlembagaan badan induk itu dalam perkara 14.2 berkaitan dengan EGM diterima oleh ahli gabungan.

KBF mahu ia dipinda kepada EGM boleh diadakan pada bila-bila masa oleh Jawatankuasa Eksekutif atau permintaan secara bertulis tidak kurang daripada 15 negara ahli gabungan berbanding tiga sebelum ini dan setiausaha agung perlu memanggil untuk mengadakan EGM dalam tempoh sekurang-kurangnya 60 hari berbanding 30 hari selepas menerima notis.

Dalam EGM berkenaan, hanya agenda yang dinyatakan dalam notis boleh dibincangkan.


 BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment