Monday, April 22, 2013

Liverpool Masters Kekalkan Kejuaraan Piala Malaysia Masters

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Pasukan Liverpool Masters berjaya mengekalkan Piala Malaysia Masters bagi tahun kedua berturut-turut selepas menumpaskan European Player Legends (EPL) Masters, 5-4 dalam perlawanan akhir mendebarkan di Bukit Jalil di sini Ahad.

Liverpool Masters yang menjuarai piala itu selepas menundukkan Manchester United Masters pada perlawanan akhir tahun lepas dengan jaringan gol yang sama di Stadium Malawati, Shah Alam, turut menumpaskan EPL Masters, 5-3 pada perlawanan awal mereka hari ini.

Kelab yang digelar 'The Reds' itu menghiburkan hampir 3,000 penonton dengan mempamerkan aksi yang menarik dan bergaya selepas mereka memenangi semua tiga perlawanan awal termasuk mengalahkan Malaysian Masters 6-2 dan Manchester United (MU) Masters, 4-2.

Pemain Liverpool Masters, Robbie Fowler, 38, juga mengekalkan anugerah 'Penjaring Gol Terbanyak' yang diraihnya tahun lepas selepas menyumbat 10 gol pada pusingan round-robin dan perlawanan akhir.

Bekas pemain antarabangsa, Zainal Abidin Hassan, yang merupakan kapten Malaysian Masters pula menerima anugerah 'Pemain Tempatan Terbaik'.

Naib johan tahun lepas MU Masters menduduki tangga ketiga manakala Malaysian Masters meraih tempat keempat.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment