Thursday, April 18, 2013

Kebanggaan Malaysia

PARA pemain Cardiff City meraikan kejayaan mereka selepas berjaya melangkah ke saingan Liga Perdana England musim depan.


MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan kejayaan kelab bola sepak Liga Kejuaraan England, Cardiff City melayakkan diri ke Liga Perdana England (EPL) musim depan merupakan kebanggaan buat rakyat negara ini.

Sambil mengucapkan tahniah kepada kelab yang dimiliki ahli perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan itu, Ahmad Shabery berkata, kejayaan tersebut dapat membawa jenama Malaysia di persada bola sepak antarabangsa.

"Saya amat gembira dengan kejayaan tersebut. Tahniah, kerana ia sedikit sebanyak telah memupuk semangat kepada para pemain kebangsaan untuk bekerja lebih keras dalam mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa," katanya semalam.

Kelab tersebut, yang menggunakan jersi yang tertera nama Malaysia, menamatkan penantian selama 51 tahun untuk layak ke Liga Perdana England.

Keputusan seri tanpa jaringan yang dicatatkan kelab bimbingan jurulatih dari Scotland, Malky Mackay ketika menentang Charlton Athletic awal pagi semalam, membolehkan mereka beraksi dalam liga utama England itu buat julung- julung kalinya.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, kelab berkenaan telah lama dianggap sebagai 'pasukan kebangsaan' kerana ia dimiliki oleh rakyat Malaysia.

"Malaysia dan Cardiff City sudah lama mempunyai pertalian spiritual kerana apabila penduduk di sana melihat pasukan itu, mereka pasti mengaitkan dengan Malaysia kerana kita adalah penaja utama yang membawa mereka ke tahap ini," katanya.

Beliau turut memuji program pembangunan pada peringkat akar umbi yang dijalankan oleh kelab berkenaan dan menggesa pasukan Harimau Malaya bimbingan Datuk K. Rajagobal untuk mencontohinya.

Turut senada dengan beliau ialah legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun yang menyifatkan kejayaan kelab itu beraksi di EPL musim depan pasti menggembirakan seluruh rakyat Malaysia.
"Kita patut mencontohi bagaimana Vincent Tan membawa pasukan ini ke EPL agar kita mampu mencapai tahap lebih baik pada masa akan datang.

"Skuad Harimau Malaya patut menjadikan kejayaan kelab itu sebagai pembakar semangat untuk berusaha dengan lebih keras bagi melayakkan diri beraksi pada Sukan Olimpik nanti," katanya.

KOSMO

No comments:

Post a Comment