Friday, April 26, 2013

Jelajah Malaysia 2013 terpaksa ditunda: Naim

Kuala Lumpur: Perlumbaan Jelajah Malaysia 2013 ditunda ke Jun berikutan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei ini, menurut penganjur perlumbaan, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Perlumbaan berbasikal tertua di Malaysia itu sepatutnya berlangsung dari 7 hingga 11 Mei ini kini ditukar ke 26 hingga 30 Jun.

Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad berkata, pihaknya memohon kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk meminda tarikh asal kerana PRU13 baru selesai dua hari sebelum itu.

Bagaimanapun, katanya, secara kebetulan UCI sudah menetapkan semua kejohanan kebangsaan di seluruh dunia perlu diadakan dalam tempoh antara 17 hingga 30 Jun ini.

Naim yang juga Ketua Pegawai Operasi Jelajah Malaysia 2013 berkata, sebelum ini beliau sudah mendapatkan pandangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai tarikh asal perlumbaan iaitu 7 hingga 11 Mei ini.

“Polis meminta PKBM mengambil kira faktor kawalan keselamatan perlumbaan memandangkan negara baru saja selesai mengadakan pilihan raya umum.

“Atas nasihat PDRM, kami mengambil keputusan meminda tarikh perlumbaan,” katanya.

Naim berkata, Jelajah Malaysia 2013 pada asalnya membabitkan enam peringkat tapi kini diubah kepada lima peringkat, merangkumi jarak keseluruhan 863.4km berbanding jarak asal 1,015km.

Perlumbaan peringkat pertama akan bermula dari Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil ke Rembau, Negeri Sembilan sejauh 187.7 km, diikuti Rembau-Batu Pahat, Johor (197.6 km); Batu Pahat-Pontian (94.7 km); Johor Baharu-Melaka (206.3 km); dan Melaka-Dataran Merdeka, Kuala Lumpur (177.1 km).

Perlumbaan Jelajah Malaysia 2013 mendapat pengiktirafan kategori 2.2 oleh UCI dan menjadi sebahagian daripada kalendar 2012-13 UCI Asia Tour.

Sebelum ini, edisi kedua perlumbaan Tour of Borneo sudah mendapat persetujuan UCI untuk meminda tarikh perlumbaan dari 26-30 April ke 22-26 Ogos bagi memberi laluan kepaada PRU13.



- BERNAMA

No comments:

Post a Comment