Monday, April 22, 2013

Jangan cepat menghukum

SKUAD Harimau Muda harus mempergunakan sepenuhnya peluang menimba ilmu di bumi Eropah dalam misi mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun ini.


PEJAM celik, sudah lebih sebulan skuad bola sepak Harimau Muda berkelana menimba ilmu di bumi Eropah selepas meninggalkan tanah air pada pertengahan Mac lalu.
Ia sebagai persiapan awal pasukan muda negara mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun ini.

Namun selepas mengharungi lima perlawanan, taring Harimau Muda dilihat masih tumpul apabila gagal memburu kemenangan sulung setakat ini.
Sebelum ini, mereka tumpas sebanyak dua kali dalam dua pertemuan dengan kelab Slovakia, MSK Zilina dengan keputusan 1-4 dan 2-3 selain dibelasah 1-7 oleh skuad bawah 21 tahun (B-21) Georgia.
Selain itu, skuad kendalian Ong Kim Swee juga sekadar melakar keputusan seri 1-1 dan 0-0 dengan skuad B-19 Slovakia dan B-19 Norway sebelum ini.

Jangan terlalu cepat menghukum, keputusan itu sebenarnya perlu dilihat daripada sudut yang lebih positif.
Bukan apa, kemampuan pasukan-pasukan yang berkualiti dari Eropah seperti ini amat diperlukan Harimau Muda dalam usaha melakar sejarah baharu ketika temasya Sukan SEA 2013 nanti.
Bukan kemenangan yang dijadikan ukuran, sebaliknya bagaimana pemain muda negara memberikan reaksi matang sebelum ujian sebenar di Myanmar kelak.

Tiada gunanya skuad muda negara dilihat terlalu hebat melakar kemenangan ke atas pasukan yang lebih lemah tetapi akhirnya tersungkur
di bumi Myanmar.

Berdasarkan rekod, sejak temasya Sukan SEA diperkenalkan pada 1959 di Bangkok (dahulunya dikenali sebagai Sukan SEAP), skuad negara masih belum berjaya memenangi emas bola sepak buat kali ketiga berturut-turut.

Justeru, pengalaman yang diraih di bumi Eropah kali ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap pemain muda negara sebelum turun berjuang mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka di Laos (2009) dan Indonesia (2011).

“Corak permainan yang konsisten, konsentrasi, disiplin serta kekuatan fizikal dan mental merupakan antara ciri untuk kita berjaya di peringkat yang lebih tinggi.

“Kefahaman tentang aspek taktikal amat penting buat setiap pemain apabila menghadapi situasi berbeza dalam setiap perlawanan,” kata Kim Swee baru-baru ini.

Atas kertas, kemampuan jentera serangan negara mencetak gol menerusi pemain berbeza seperti Irfan Fazail dan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir sepanjang di Eropah kali ini juga mengundang petanda positif.

Ia jelas membuktikan skuad muda negara tidak terlalu bergantung kepada keupayaan individu memburu jaringan seperti Md Rozaimi Abdul Rahman, Syahrul Azwari Ibrahim dan A. Thamil Arasu semata-mata.

Cuma pada masa sama, kegoyahan benteng pertahanan negara yang bolos begitu banyak, tetap mengundang keresahan Kim Swee.

“Benteng pertahanan dilihat cepat kehilangan konsentrasi dan ia wajar diperbaiki segera,” kata Kim Swee.

Untuk rekod, siri ujian persahabatan itu merupakan medan pemanas badan skuad muda negara sepanjang ‘berguru’ selama lima bulan di Slovakia sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013.

Mereka dijangka mengadakan beberapa ujian persahabatan lagi di sana selepas ini dan hanya kembali ke tanah air sebelum Aidilfitri.

Selain dijadualkan mengharungi Pestabola Merdeka, Ogos depan, Harimau Muda juga membawa cabaran negara dalam temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Rusia dari 6 hingga 17 Julai depan.



Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment