Monday, April 22, 2013

Chong Wei tekad kekal rangking pilihan utama dunia


Kuala Lumpur: Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei memutuskan untuk menyertai kejohanan Siri Super Terbuka India 24-29 April ini, bagi memastikan rankingnya kekal teratas menjelang Kejohanan Dunia di Guangzhou, Ogos depan.

Chong Wei ke New Delhi lewat petang semalam, membuat keputusan saat akhir selepas pemain nombor dua dunia Chen Long muncul naib juara Kejohanan Badminton Asia (ABC) di Taiwan, semalam.

“Ya saya baru hendak berlepas ke New Delhi. Saya perlu beraksi bagi mengekalkan kedudukan selaku pilihan utama di Kejohanan Dunia nanti,” kata Chong Wei.

Chong Wei adalah naib juara tahun lalu pernah muncul juara pada 2011, dijangka mudah menjuarai kejuaraan kali ini tanpa kehadiran pemain utama China.

Pemain harapan negara ini akan membuka cabaran menentang Scott Evans dari Ireland dengan kemungkinan Wong Wing Ki menjadi lawan di pusingan kedua.

Pilihan kelima dari India, Kashyap Parupalli atau juara Olimpik Athens, Taufik Hidayat dari Indonesia.
Malah Chong Wei diramal berdepan pilihan kedua, Sony Dwi Kuncoro (Indonesia) di final.

Terbuka India yang akan memulakan aksi kelayakan esok, bakal menyaksikan tumpuan terarah kepada Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang diharap menamatkan kemarau kejuaraan selain gandingan kedua negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong yang belum meraih kejuaraan di pentas senior.

Kejohanan ini juga menjadi tapak mengukuhkan semula cengkaman beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei.

Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga seharusnya mempamerkan prestasi terbaik dengan mencabar kejuaraan tanpa kehadiran pasangan China, untuk menjadi tonik berharga ke Kejohanan Dunia.



Oleh Mohd Hilmie Hussin, ARENA - HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment