Wednesday, April 24, 2013

Cardiff City FC Manu Terus Guna Nama Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Cardiff City FC yang akan melangkah ke Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan akan terus menggunakan perkataan 'Malaysia' di jersi mereka.

"Ini bagi menunjukkan kepada negara dan dunia bahawa saya rakyat Malaysia yang patriotik. Kami akan mengekal perkataan Malaysia pada jersi Liga Perdana kami.

"Saya telah lakukan ini (mempromosi Malaysia) sudah beberapa tahun dan mungkin kali ini kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pelancongan akan turut serta sebagai penaja kami," kata pemilik kelab Wales itu, Tan Sri Vincent Tan kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau berkata seperti tahun sebelum ini, beliau akan memberi peluang kepada pemain Malaysia yang muda dan berbakat untuk menjalani latihan dengan kelab itu.

Namun Tan berkata beliau dan pengurus pasukan Malky Mackay tidak boleh mengambil pemain Malaysia untuk bermain dengan kelab mereka kerana peraturan ranking FIFA dan peraturan EPL.

"Terdapat undang-undang yang Malaysia perlu berada pada ranking 70 teratas FIFA. Agak malang Malaysia tidak di situ tetapi kemungkinannya ada.

"Sekiranya terdapat pemain seperti Safee (Sali) atau pemain lain yang mahu membina karier dengan kami, mereka perlu bermain satu musim di kelab Eropah dan selepas itu mereka boleh bermain di UK," kata Tan.

Mengenai promosi pasukannya ke EPL, beliau berharap mereka akan kekal lama di liga tersebut.

"Saya berharap kami akan melakukan lebih baik di musim baharu. Cabaran terbesar ialah untuk menang sebanyak mungkin untuk terus kekal.

"Kami perlu memperkuat pasukan dan oleh itu perlu membawa masuk pemain baharu dan berbelanja berpatutan untuk membeli mereka. Kami mahu mencontohi Swansea. Mereka berada lama di EPL," katanya.

Tan berkata kelabnya akan berbelanja sehingga 25 juta Pound (kira-kira RM116 juta ) bagi bakat baharu tetapi tidak akan mencari pemain bintang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment