Monday, February 27, 2012

Suryani atlet terbaik kejutkan calon pilihan


PENEMBAK kebangsaan, Nur Suryani Mohd. Taibi bersama trofi atlet terbaik SAM-100 Plus 2011 di Petaling Jaya, semalam. UTUSAN/Amin Farij Hasan


PETALING JAYA - Tanpa diletakkan sebarang ramalan, ratu menembak negara, Nur Suryani Taibi berjaya mencipta kejutan apabila muncul pemenang Anugerah Atlet Terbaik SAM 100Plus 2011 dengan mengetepikan nama besar lain seperti Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David, semalam.

Pemenang dua pingat emas Sukan SEA XXVI Indonesia itu turut menewaskan dua lagi calon, pemain boling wanita negara, Jacqueline Jenelee Sijore dan pelumba berbasikal wanita yang semakin meningkat, Fatehah Mustapa.

Meraih undian tertinggi daripada penulis sukan media cetak dan elektronik, Suryani secara jujur mengakui langsung tidak menduga akan meraih gelaran itu biarpun mengetahui namanya berada dalam senarai pencalonan.

''Saya benar-benar terkejut sebab memang tidak jangka akan menang untuk anugerah kali ini kerana saya datang ke majlis ini untuk memenuhi jemputan dan langsung tidak menyimpan harapan untuk menang.
''Apabila nama saya diumumkan, saya agak tergamam dan gembira tidak terkata, ini antara penghargaan terbesar yang saya pernah capai.

''Mungkin kejayaan yang saya raih di Sukan SEA tahun lalu menjadi faktor mengapa saya dipilih menjadi atlet terbaik SAM, " katanya yang membawa pulang RM10,000 dan trofi.

Hadiah kemenangan disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam majlis yang turut dihadiri Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa.

Antara tetamu-tetamu jemputan yang hadir ialah Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay, Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd.Amin.

Anugerah Kebangkitan Terbaik 2011 menjadi milik pemain snuker veteran, Sam Chong, manakala skuad bola sepak Sukan SEA 2011 meraih anugerah Out-Do Yourself.

Juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli pula menerima anugerah Atlet Harapan 2011 dan Kongres Tenpin Boling Malaysia dipilih sebagai persatuan terbaik.


Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment