Wednesday, January 18, 2012

Peluang Suryani cipta rekod


Nur Suryani


KUALA LUMPUR – Jaguh menembak wanita negara, Nur Suryani Mohd. Taibi berpeluang melakar satu lagi sejarah tersendiri andai meraih tiket kedua Olimpik menerusi acara 50 meter Rifle 3 Position pada Kejohanan Menembak Asia ke-12 di Doha, Qatar hari ini.

Tiada penembak Malaysia pernah layak beraksi dua acara dalam sesuatu temasya berprestij itu, dan penembak berusia 29 tahun itu berpotensi menjadi yang pertama.

Lima slot ditawarkan untuk benua Asia dan China sudah pun membolot dua daripadanya di Piala Dunia, dengan baki tiga lagi masih menjadi rebutan hari ini.

Sabtu lalu, Nur Suryani mencipta sejarah selaku penembak raifal wanita sulung layak bertanding di Olimpik selepas meraih tiket dalam acara 10m Air Rifle.

Pemenang pingat emas berganda Sukan SEA itu terus mempamerkan aksi mantap dengan menduduki tempat kelima saingan 50m Rifle Prone (bukan acara Olimpik) yang berlangsung kelmarin.

Lebih membanggakan, Malaysia hampir meraih gangsa dalam acara berpasukan dengan dua lagi penembak kita Nur Ayuni Farhana Halim dan Muslifah Zulkifli yang menamatkan saingan di tangga ke-14 dengan ke-21, mencatat kombinasi 1,753 mata.

Trio negara yang diketuai Nur Suryani itu terlepas kedudukan gangsa dengan hanya dua mata kepada India dan berpuas hati di tempat keempat.

Menilai persembahan itu, ia tentu menyuntik keyakinan Nur Suryani menjelang acara ketiga yang disertainya hari ini.

“Saya akan beraksi dalam satu lagi acara esok (hari ini) dalam keadaan cergas selepas berehat sehari, namun saya tidak berani meramalkan peluang meraih satu lagi tiket.

“Bagaimanapun, 50m Rifle 3 Position memang acara kegemaran saya, alangkah bagus jika saya dapat juga layak ke Olimpik dalam acara ini. Adalah satu bonus jika saya berjaya,” jelas Nur Suryani.

Acara 50m Rifle 3 Position memerlukan seseorang penembak itu melengkapkan tiga disiplin - meniarap, berdiri dan melutut dengan lapan penembak yang memiliki mata terkumpul tertinggi layak ke peringkat akhir bagi menentukan pemenang pingat.



Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment