Tuesday, February 23, 2010

Perahu layar ke Sukan Komanwel, Asia

SKUAD perahu layar kebangsaan mengesahkan tiket ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia, hujung tahun ini berikutan kejayaan cemerlang di Kejohanan Perahu Layar Antarabangsa Ke-18 di Doha, Qatar, baru-baru ini.

Pengurus pasukan, Abdul Halim Hassan berkata bagaimanapun, semua atlit perlu melalui proses pemilihan bagi menentukan pelayar yang benar-benar layak mewakili negara pada temasya itu memandangkan hanya seorang sahaja dibenarkan mewakili negara dalam setiap kategori dipertandingkan.

“Pada Kejohanan Sukan Asia di Guangzhou akan datang, kami mensasarkan tiga pingat teratas dalam acara Optimist,” katanya, semalam.


Kemenangan skuad Perahu Layar Kebangsaan di Doha adalah pencapaian terbaik yang membanggakan dan ia kemenangan pertama skuad negara dalam kejohanan antarabangsa, tahun ini.

Dalam semua cara dipertandingkan, Malaysia menyapu bersih kejuaraan kategori Optimist selain muncul naib johan bagi semua cara - Optimist, Laser 4.7 dan Laser Standard - dalam kejohanan itu.

Abdul Halim berharap kejayaan kali ini akan menjadi pendorong kepada skuad negara menghadapi saingan sengit pelayar dari China, Thailand dan Singapura pada temasya Sukan Komanwel serta Sukan Asia kelak. - Bernama 

No comments:

Post a Comment