Tuesday, February 23, 2010

Menteri mahu muktamad isu jurulatih

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery mahu tampil mendengar cerita semua pihak dalam usaha menyelesaikan perbalahan yang tampak tercetus di antara jurulatih dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai misi menghadapi Piala Thomas, Mei ini.

Dengan sasaran merangkul kejuaraan Piala Thomas seperti dalam bahaya akibat perselisihan pandangan antara BAM dengan jurulatih, Ahmad Shabery berkata, adalah tidak adil untuk mendengar cerita sebelah pihak saja.

“Saya akan dengar penjelasan daripada ketiga-tiga pihak iaitu pemain, jurulatih dan juga pihak pengurusan,” katanya pada sidang akhbar ketika meninjau persiapan skuad badminton negara di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam. “Saya nak dapat maklumat daripada semua pihak jika ada sebarang perbalahan.

“Saya tidak boleh bergantung kepada (laporan) media saja, saya hendak dengar dulu daripada semua pihak.”

Ahmad Shabery berkata, jurulatih memainkan peranan penting kerana mereka bukan saja pelatih tetapi juga dianggap sebagai ‘bapa” atau pun mentor oleh pemain dan dia memberi jaminan akan meneliti peranan dimainkan pengendali terbabit.

Perbalahan antara BAM dan jurulatih bermula apabila badan induk badminton itu memberi amaran bahawa jurulatih bakal berdepan tindakan seandainya pasukan lelaki gagal meraih kejayaan cemerlang di Piala Thomas, menjadikan mereka sebagai 'kambing hitam.' 



Bagaimanapun, ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek menganggap BAM tidak wajar meletakkan tanggung jawab sepenuhnya kepada jurulatih sebaliknya harus memikul bersama-sama jika skuad negara gagal, Mei ini.

Mengenai pengurusan BAM, yang kini tampak banyak diuruskan seorang pegawainya saja, Ahmad Shabery berkata, ia satu andaian yang tidak adil.

“Presiden BAM sekarang uzur dan dalam tempoh menjalani rawatan, sudah tentu akan ada orang yang bertanggung jawab. Kita tidak boleh buat andaian sedemikian.”

Ahmad Shabery berkata, dia akan turut mendapatkan penjelasan pihak pengurus mengenai dakwaan BAM berhutang dengan pemainnya.
“Saya ada dimaklumkan mengenai perkara itu,” katanya.

Oleh Lukman Salleh
lukmsal@bharian.com.my

No comments:

Post a Comment