Thursday, February 26, 2009

Zakry masih rasa bimbang

Oleh Ahmad Khawari Isa
ahmadkhawari@bharian.com.my


Mohd Zakry Latif

Dilanda gemuruh menanti saingan Seluruh England

IBARAT kali pertama turun ke gelanggang, ada rasa gementar mengganggu sanubari Mohd Zakry Latif ketika menghitung hari ke kejohanan badminton Seluruh England, bermula minggu depan.

Di sebalik reputasi selaku pilihan keempat bersama gandingan, Fairuzizuan Tazari, di Birmingham nanti, Zakry mengakui perasaan itu tidak mampu dihapuskan kerana ia bakal jadi kejohanan pertama mereka tahun ini.


“Daripada segi persiapan, saya percaya kami sudah melakukan semuanya untuk kembali ke tahap sebelum saya ditimpa kecederaan. Tetapi rasa bimbang itu tetap ada.

“Mungkin kerana ini kejohanan pertama kami. Saya bimbangkan naluri aksi di tengah gelanggang yang belum dirasai. Itu hanya boleh diperolehi dalam pertandingan sebenar,” katanya.

Ekoran itu, sasaran pada saingan berprestij itu terpaksa diubah.

“Memang sebelum ini, Seluruh England antara gelaran kami sasarkan. Tetapi selepas saya cedera, realistiknya untuk menang mungkin berkurangan. Namun itu tidak bermakna kami akan mengambil mudah penyertaan kali ini,” tegasnya.

Zakry dan Fairuzizuan sebelumnya tidak turut serta pada dua saingan awal Siri Super Dunia - Terbuka Malaysia dan Terbuka Korea Selatan - Januari lalu selepas Zakry tersisih akibat kecederaan lutut.

“Saya harap Seluruh England ini mampu jadi permulaan idaman buat kami. Kami tidak mahu terlalu merancang jauh, tetapi mahu tumpukan fokus kepada melepasi halangan satu persatu,” katanya.

Ujian pertama mereka menjelma daripada beregu Indonesia, Yonathan Suryatama Dasuki-Rian Sukmawan sebelum gandingan tuan rumah yang juga pilihan kelapan, Anthony Clark-Nathan Robertson berkemungkinan menanti di suku akhir.

Jika melepasinya, harapan ke final kini tampak terbuka ketika terdengar perkhabaran betapa juara Olimpik yang juga pilihan utama, Markis Kido-Hendra Setiawan daripada Indonesia mungkin menarik diri.


No comments:

Post a Comment