Friday, February 27, 2009

Tiga sukan elit tanpa jurulatih tahap 3

Oleh Meor Hisham Zulkifli

sham@bharian.com.my

KETIKA Kementerian Belia dan Sukan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya satu emas di Olimpik London 2012, persoalan timbul terhadap persiapan memburu kejayaan itu apabila terdedah sukan terbabit - badminton, memanah, berbasikal - tidak mempunyai jurulatih tahap tiga.

Sijil Kejurulatihan Tahap 3 Kebangsaan, adalah pengiktirafan tertinggi bagi seseorang jurulatih di negara ini dan mereka yang mempunyai sijil ini dianggap sudah pun memiliki cukup pendedahan dan ilmu berkaitan kejurulatihan termasuk sains sukan.

Berita Harian difahamkan, ketika ini hanya enam jurulatih tahap tiga, berkhidmat dengan Majlis Sukan Negara (MSN), namun tidak seorang pun daripada keenam-enam jurulatih ini termasuk dalam kelompok tiga sukan yang menjadi sasaran KBS itu.


Sejak Lembaga Kejurulatihan Kebangsaan (LKK) ditubuhkan pada 1987, sudah ada 279 jurulatih tahap tiga namun, kebanyakan mereka tidak terbabit sepenuh masa melatih atlit berprestasi tinggi.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong (gambar) , mengakui betapa tahap jurulatih negara perlu ditingkatkan terutama membabitkan kualiti jurulatih itu sendiri andai sasaran melahirkan atlit bertaraf dunia mahu dicapai.

“Saya tidak pasti berapa ramai yang mempunyai sijil kejurulatihan tahap tiga yang terbabit melatih tiga sukan utama ini. Namun kita akan berusaha memastikan semua jurulatih yang bernaung di bawah MSN akan memiliki sijil tahap tiga selain sijil kejurulatihan sukan khusus.

“MSN juga dalam perancangan bagi melahirkan bukan saja atlit bertaraf dunia tetapi jurulatih bertaraf dunia dan mereka mampu dieksport untuk melatih negara lain. Kalau boleh kita mahu melahirkan lebih ramai jurulatih seperti Terry Walsh yang mempunyai segala ramuan mencukupi untuk melatih pasukan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Konvensyen Instruktur Sains Sukan dan Bengkel Latihan untuk Jurulatih di ibu negara semalam. Bengkel berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wee Jeck Seng yang mewakili Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Pengerusi LKK, Dr Ahmad Muner Che Muhammad, berkata matlamat lembaga itu bukan mahu melihat kepada kuantiti tetapi kualiti jurulatih itu kerana menyedari betapa walaupun tiga sukan terbabit tidak mempunyai jurulatih tahap tiga, mereka masih mampu melahirkan atlit bertaraf dunia.

No comments:

Post a Comment